"kakak bangun.. jom pergi sekolah".. dialog harian biasa yang didengar kakak saban hari persekolahan. Dengan mata tertutup, mamai..turun dari katil berjalan menunju ke bilik mandi bagi bersedia untuk ke sekolah.
Setiap hari kakak akan ke sekolah rendah agama (SRA) dan kemudian ke sekolah kebangsaan (SK) pada sesi petang. Sesi SRA bermula jam 8.00 pagi dan kemudian berakhir jam 11.00 pagi. Tamat sesi di SRA, kakak akan pergi ke transit bagi tujuan makan tengahari dan salin baju untuk persediaan ke sekolah petang. Jam 12.00 tengahari, van along sedia menanti di transit membawa kakak dan anak-anak lain untuk ke SK. Jadual yang ketat dan memenatkan bagi anak-anak yang seusianya. Tiada waktu rehat atau 'nap' untuk melepaskan lelah. Sesi persekolahan SK bermula jam 1.30 tengahari dan tamat jam 6.30 petang.
"macam mana sekolah hari ni?.. seronok tak?" soalku pada kakak sewaktu mengambilnya pulang dari SK. "Penat ma..bosan..kakak penat..tak sempat tidur..tadi tertidur dalam kelas" jawapan yang keluar dari mulut kecil itu. Kepenatan jelas terpapar pada wajahnya."Maafkan mama kakak sebab tak sempat jaga kakak" bisikku padanya.. Wajah kecil itu hanya menatapku tanpa sebarang reaksi. Rutin diteruskan juga saban hari.. tiada pilihan. Aku harus meneruskan perjuangan pengajianku. Maafkan mama kakak.
Hari ini.. kakak membuat tantrum sewaktu hendak dihantar ke SRA setelah menghantar adik-adiknya ke tadika dan taska. "kakak tak nak sekolah... balik lambat sangat..kakak tak sempat jumpa mama..jumpa mama sekejap sangat, lepas tu dah tidur". luahan perasaan kakak dilepaskan bersama juraian air mata. Remuk rasa hati..mendengar luahan rindu anak kecil itu.. tiada daya bagiku selain memujuk hati kecil itu agar meneruskan persekolahan. Menyatakan padanya bahawa mama juga rindu pada kamu semua..mahu bermain dan mendengar celoteh anak-anak mama. Aku memberi janji untuk meluangkan masa bersamanya selepas waktu kerja walaupun hanya sebentar.
Drama juraian air mata masih berterusan di lapangan SRA."sekolah kat malaysia susah..kakak tak pandai..kakak tak tahu baca..kat jepun senang je" air mata berjuraian sekali lagi sambil matanya merenung ke arah tulisan jawi pada dinding bangunan sekolah. Sekali lagi rasa bersalah menderu datang..maafkan mama sayang..sebabkan kakak tertekan begini.. tercicir dalam pelajaran. Namun mama akan cuba sebaik mungkin untuk bantu anak-anak mama. Aku memujuk kakak dan berkata padanya agar terus rajin berusaha. Tidak mengapa jika tidak pandai tetapi rajin berusaha..kakak bukan tidak pandai, tapi kakak lambat masuk sekolah ni..lama-lama nanti kakak akan pandai juga seperti kawan-kawan yang lain..pujukku bagi mententeramkan kakak.
Jam menunjukkan 9.00 pagi, waktu rehat bagi anak-anak darjah satu. Aku menemani kakak untuk berehat di kantin SRA..Wajahnya semakin ceria..lantaran sedikit masa diluangkan untuknya. Bekalan yang di bawa dinikmati bersama air sarsi yang di beli. Selesai makan..aku mengiringi kakak ke kelasnya. Ku peluk kakak dengan erat..menyatakan sayangku padanya..memesan kepadanya agar terus rajin berusaha..jangan rasa sedih..kita akan jumpa malam nanti. Kakak kutinggalkan bersama rakannya setelah kesedihannya reda.
Wahai anak-anak mama..maafkan mama sebab tidak menjaga kamu dengan sempurna. Namun mama mahu kamu tahu bahawa kasih sayang mama menggunung untuk kamu semua. Hari-hari mama doa agar anak mama gembira dan menikmati masa kecil seperti anak-anak lain. Mama doa agar anak-anak mama sentiasa dilindungi Allah dan menjadi anak soleh dan solehah.
Mama sayang kamu Sofieya, Shafy, Syamil!